mutakhir

Maut bawah jengkaut

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Kinabatangan: Lelaki maut selepas jengkaut dipandu terbalik dan menghempap dirinya di kawasan Hutan Gunung Rara, Tongod, dekat sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 3.05 petang, mangsa, Albert Albarico, 29, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai menjalankan kerja membersihkan kawasan bukit di lokasi kejadian.

“Jentera berat itu dipercayai tergelincir dari kedudukan asal lalu terjatuh ke gaung sebelum jengkaut berkenaan menghempap mangsa.

“Beberapa pekerja yang menyedari kejadian itu segera membawa mangsa ke Hospital Tawau namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sahak berkata, hasil bedah siasat mendapati punca mangsa meninggal dunia akibat kegagalan fungsi paru-paru disyaki akibat tersepit.

Pihaknya lewat menerima laporan berhubung kejadian kerana perjalanan ke lokasi agak jauh.

“Kami hanya menerima laporan semalam (kelmarin) lalu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan dihantar ke lokasi.

“Lokasi kejadian agak jauh dan perjalanan dari Tawau saja mengambil masa lebih lima jam untuk tiba di sana,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 7:14am
d