mutakhir

Rentung rempuh belakang trak

Oleh Omar Ahmad

SEORANG penunggang motosikal rentung selepas melanggar belakang trak makanan satu tan dalam kemalangan sebelum susur keluar Tol Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.29 petang dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Katanya, dua jentera dikerahkan ke lokasi membabitkan jentera FRT dan EMRS dengan kekuatan lapan anggota.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati terdapat sebuah trak makanan dan motosikal sedang terbakar akibat kemalangan.

“Terdapat tiga mangsa iaitu seorang pemandu lelaki dan seorang kelindan perempuan selamat tanpa kecederaan.

“Manakala, seorang penunggang motosikal Honda EX5 maut terbakar dalam kemalangan itu kerana tersepit.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Identiti mangsa yang maut tidak dapat dikenalpasti berikutan dokumen yang ada pada mangsa turut terbakar,” katanya.

Beliau berkata, lori berkenaan berhenti di lorong kecemasan kerana masalah enjin sebelum motosikal itu melanggar belakang lori dan terus terbakar.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 7:55pm
d