mutakhir

Hari ketiga masih ramai

Oleh Mohd Hasbi Sidek

MESKIPUN sudah masuk hari ketiga kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dekat Keramat, orang ramai masih berpusu-pusu datang melihat sendiri lokasi kejadian.

Tinjauan di lokasi mendapati keadaan lalu-lintas sedikit sesak apabila masing-masing cuba mencari parkir selain memperlahankan kenderaan untuk melihat dan mengambil gambar.

Di hadapan pusat tahfiz juga masih terdapat beberapa anggota polis lengkap bersenjata mengawal pintu masuk utama.

Seorang guru dari Seksyen 32, Shah Alam, Siti Norbaiya Kamaruzzaman, 37, berkata, dia memang mengikuti perkembangan kejadian sejak dari hari pertama.

"Rasa tidak puas hati rasanya kalau tak datang melihat sendiri lokasi kejadian lebih-lebih lagi ia mendapat perhatian seluruh negara.

"Sempena hari cuti ni, saya mengajak suami untuk datang ke sini kerana sebelum ini hanya membaca berita sahaja mengenai lokasi," katanya.

Menurutnya, sebagai guru, dia cuba memberi iktibar kepada murid-muridnya apabila mengajar di kelas dan kesempatan untuk melawat ke lokasi memberi kelebihan kepadanya.

Sehingga jam 10.30 malam tadi, orang ramai masih tidak surut malah ada yang hadir turut menyampaikan sumbangan di kaunter yang dibuka pihak tahfiz berkenaan.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 11:38pm
d