mutakhir

30,000 sambut hari Malaysia

Oleh Norasikin Daineh

KEMERIAHAN kemuncak sambutan Hari Malaysia bermula apabila lebih 30,000 orang ramai sekitar Kota Kinabalu membanjiri Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, seawal jam 6 petang hari ini.

Sabah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan dan sambutan rasmi dimulakan kira-kira 8.30 malam selepas ketibaan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni.

Turut memeriahkan majlis, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; wakil rasmi Ketua Menteri Sarawak, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.

Antara acara lain yang diadakan termasuk menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu kebangsaan Negaraku dan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) diikuti persembahan 'Selamat Datang' yang berkonsepkan kepelbagaian etnik di negara ini dengan membabitkan 1,000 peserta.

Dalam majlis ini juga, Najib dan Musa bersama-sama menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2017, diikuti acara memotong kek Hari Malaysia berlogokan Negaraku Sehati Sejiwa.

Turut dipersembahkan persembahan khas 'Negaraku

Sehati Sejiwa' yang memaparkan kecemerlangan Malaysia di bawah

kepimpinan Perdana Menteri dengan menonjolkan kepelbagaian seni nyanyian dan tarian serta warna-warni budaya negara ini yang menterjemahkan kesatuan, kemuafakatan dan keharmonian masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama dalam satu nada dan satu irama.

Turut terbabit dalam sambutan kali ini ialah semua atlet yang memenangi Pingat Emas dalam Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 yang berasal dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Terdahulu, orang ramai mula membanjiri kawasan Kompleks Sukan Likas bagi menunjukkan semangat solidariti selain tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan acara bersejarah ini.

Persembahan Konsert Inspirasi Anak Malaysia Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut diadakan selepas majlis perasmian oleh beberapa artis popular tanah air termasuk Ratu Rock Ella; Nana Sheme; Rosario Bianis; Francis Landong; Jarywine; Zizi Kirana, Atmosfera Band, Hael Husaini dan Artis Nuborn Music Art serta dihoskan oleh Nera serta Farish Aziz bagi menghiburkan pengunjung.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 11:44pm
d