mutakhir

Dekati komuniti

Oleh Hafizudin Mohd Safar

Padang Besar: Seramai 378 peminat trek Mountain Bike (MTB) memeriahkan suasana Kejohanan Jambori Basikal Bukit Pusat Koreksional Perlis (PKPs) 2017 sempena Hari Malaysia 2017, semalam.

Mereka mengayuh sejauh 40 kilometer meredah kawasan bukit, ladang kelapa sawit, ladang getah serta pemandangan sawah padi di sekitar Kok Klang dan Chuping.

Kejohanan kali pertama anjuran PKPs dengan kerjasama Majlis Sukan Penjara Malaysia (MSPM) itu disertai 25 agensi bawah Jabatan Penjara Malaysia semua negeri termasuk Jabatan Penjara Negeri, Penjara Negeri, Pusat Koreksional Negeri , Maktab Penjara Malaysia, Akademi Koreksional Malaysia dan juga Sekolah Henry Gurney selain beberapa kategori terbuka untuk peminat MTB tempatan.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Ahmad Fauzi Awang berkata, acara terbabit mendekatkan institusi koreksional negara dengan masyarakat tempatan.

“Kejohanan ini juga memberi peluang pegawai dan anggota Jabatan Penjara Malaysia meningkatkan tahap kecergasan yang tinggi seperti yang diperlukan untuk melaksanakan tugas.

“Pada masa sama, program ini mendekatkan institusi Jabatan Koreksional Negara dengan masyarakat tempatan.

“Justeru, penganjuran aktiviti lasak seperti MTB oleh institusi koreksional negara yang diminati ramai akan membuatkan masyarakat tidak berasa terasing dengan kewujudan pusat koreksional di kawasan mereka,” katanya.

Beliau juga menyampaikan hadiah kepada pemenang setiap kategori termasuk piala utama kepada Pasukan MTB Jabatan Penjara Negeri Perak yang menjuarai kategori berpasukan bagi institusi koreksional negara.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 3:43am
d