mutakhir

Didik gaya hidup lestari

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Mereka yang meminati pembelajaran sains berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan pada acara sains terbesar negara, Festival Sains Petrosains 2017.

Festival yang berlangsung di Petrosains The Discovery Centre, Menara Berkembar Petronas (KLCC) selama tiga hari berakhir hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 700,000 pengunjung.

Pelbagai aktiviti menarik seperti program pendidikan kreatif, bahan pameran, demonstrasi, forum, persembahan artis tempatan diadakan bersesuaian dengan tema Kehidupan Lestari pada festival kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, festival yang sudah masuk kali keempat itu membawa tema kehidupan lestari bertujuan memupuk minat orang ramai terhadap amalan gaya hidup lestari dan mesra alam.

“Festival kali ini mengetengahkan amalan kitar semula, penjimatan tenaga, pengurangan pembaziran makanan dan pengurusan pembuangan sampah secara sistematik kepada masyarakat umum.

“Dengan adanya 22 tapak pameran daripada Petrosains, Alam Flora, Tourism Malaysia, oBike, World Wide Fund for Nature (WWF) yang dipamerkan secara percuma di kawasan ruang legar Esplanad, Taman KLCC, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai meningkatkan kefahaman terhadap sains dan gaya hidup lestari,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, di kawasan Galleria Petrosains pula, pengunjung berpeluang menyertai aktiviti menarik pada sudut pandang sains seperti bengkel menjahit, memperbaharui sumber tenaga solar, pertunjukan rumah pintar serta banyak lagi dengan bayaran RM5.

“Melalui program pendidikan, bahan pameran dan demonstrasi yang dipamerkan pada festival membolehkan orang ramai memahami impak perilaku manusia dari segi sosial, persekitaran dan ekonomi.

“Bukan itu saja, di festival ini banyak aktiviti menarik yang menonjolkan usaha lestari pada sudut pandang sains antaranya pengalaman realiti berperantara, sesi forum dan aktiviti kreatif hands-on,” katanya.

Tambahnya lagi, festival terbabit buat julung kalinya membawakan acara satelit Mydigital Maker Fair di Dewan 6, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bertujuan mendedahkan teknologi baru dan berinovasi kepada masyarakat umum.

“Selaras dengan tema lestari, penggunaan kertas cuma secara minimal yang mana pengunjung perlu menggunakan aplikasi Petrosains Sains Festival untuk menyusuri perjalanan lawatan ketika festival berlangsung.

“Pengunjung disarankan memuat turun aplikasi berkenaan melalui App Store atau Play Store bagi membantu pengunjung mencari maklumat dan merancang lawatan ke festival selain menyertai permainan 3D Hunt and Redeem,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Sabrina Ismail, 33, berkata, festival yang berlangsung itu memberi pendedahan kepada kanak-kanak untuk mempelajari sains dalam keadaan menyeronokkan.

“Dengan adanya penganjuran festival seperti ini, banyak pendedahan dapat diberikan kepada kanak-kanak khususnya untuk lebih menguasai sesuatu perkara secara praktikal.

“Seperti bengkel menjahit, kanak-kanak diberi kebebasan mempelajari sesi jahitan secara hands-on daripada pegawai terlatih yang mana mereka mengajar proses menjahit daripada peringkat awal hingga ke peringkat akhir,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Fatim Baharuddin, 42, berkata, dia mengambil peluang membawa tiga anaknya ke festival itu berikutan aktiviti menarik yang dianjurkan Petrosains.

“Sepanjang festival berlangsung, saya juga memberi kebebasan kepada anak untuk mempelajari segala ilmu berkaitan sains yang mana ilmu seperti ini tidak akan diperoleh dalam buku teks sekolah semata-mata,” katanya.

Festival kali ini turut membawa sedikit kelainan daripada tahun sebelumnya dengan membawa persembahan sains melalui live-streaming daripada The Mind Muzium, Filipina; Pusat Sains Singapura; Imagine U Children’s, Amerika Syarikat; Beijing Planetarium serta persembahan selebriti tempatan seperti Altimet, Paperplane Pursuit, Fazz dan Datuk Zainal Abidin yang mendendangkan lagu ikonik Hijau di ruang legar Esplanad.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau membuat pendaftaran untuk menyertai sesi bengkel, forum dan aktiviti boleh melayari laman sesawang www.sciencefestival.my.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 3:59am
d