mutakhir

Lelaki maut bertembung kereta

Oleh HM Digital

Saratok: Seorang lelaki maut selepas motosikal Yamaha Lagenda yang ditungganginya bertembung dengan Perodua Viva di Kilometer 24 Jalan Kabong-Roban, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Satu Lidang, 50, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala wanita yang juga menantunya, Kadi Ajun, 20, parah.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mordani Tanin berkata, siasatan awal mendapati motosikal dari arah Kabong menuju Roban yang ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dipercayai kerana hujan lebat.

Menurutnya, pada masa sama sebuah Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun tidak sempat membrek dan mengelak sebelum bertembung.

“Pertembungan itu menyebabkan kereta berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terbabas bersama motosikal berkenaan di dalam longkang di bahu kiri jalan.

“Orang ramai yang melalui kawasan berkenaan kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan lanjut dan pasukan perubatan dari Hospital Sarikei yang dipanggil mengesahkan penunggang motosikal maut di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pembonceng motosikal yang parah dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 4:22am
d