mutakhir

Bantu rakan sebelum maut

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Alor Gajah: Bapa tiga anak meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas membantu membaiki kereta rakan di Tampin, Negeri Sembilan, dalam kejadian di Jalan Padang Sebang, Pulau Sebang, di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa Harjinder Singh Joginder Singh, 45, menunggang motosikal Honda Wave, sebelum motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke bahu jalan.

Ketua Polis Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.10 tengah hari apabila mangsa yang juga penyelia di A’Famosa Resorts menunggang motosikal Honda Wave dari arah Pulau Sebang ke Gadek, di sini, tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas.

“Siasatan awal di lokasi mendapati, tiada kesan perlanggaran dengan kenderaan lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah dan pemeriksaan awal oleh doktor bertugas mendapati, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, namun bedah siasat akan tetap dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 4:25am
d