mutakhir

'Kami beri tunjuk ajar' - Bomba

Oleh Baharom Bakar

PENGUSAHA sekolah pondok dan tahfiz persendirian yang tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) boleh mengemukakan permohonan untuk pemeriksaan keselamatan bangunan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penolong Pesuruhjaya Bomba, Azlimin Mat Noor berkata, pegawai dan anggota yang akan melakukan pemeriksaan bangunan itu hanya boleh memberi pandangan serta tunjuk ajar cara menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran.

"Kita hanya boleh memberi pandangan dan nasihat namun kita tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan atau mengeluarkan lesen menduduki (CF) kerana kelulusan itu di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya selepas melakukan pemeriksaan mengejut di Maahad Tahfiz Ar-Rahman di Kampung Paloh Sungai Kiat, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi nasihat mengenai kaedah penyusunan peralatan termasuk meja, kerusi serta katil agar tidak menghalang laluan penghuni sekiranya berlaku kecemasan.

"Kita juga akan memberi tunjuk ajar kepada tenaga pengajar serta pelajar sekolah pondok dan tahfiz kaedah menyelamatkan diri sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk kebakaran bangunan," katanya.

Azlimin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim supaya JBPM diberi kuasa melakukan pemeriksaan keselamatan bangunan sekolah pondok dan tahfiz pesendirian yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam di semua negeri.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 8:28pm
d