mutakhir

Kantoi berpesta lalok

Oleh Hadzlihady Hassan

SEKUMPULAN 26 individu yang sedang leka berpesta dadah ditahan polis dalam serbuan di Pangsapuri Kelisa, Perai, hari ini.

Dalam serbuan 11 pagi itu, 15 lelaki dan 11 perempuan berusia 15 hingga 23 tahun sedang khayal dan tidak menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, antara yang ditahan itu termasuk dua penuntut kolej lelaki, pelajar lelaki tingkatan lima, dua pelajar perempuan tingkatan lima dan pelajar perempuan tingkatan tiga.

Menurutnya, suspek lain yang ditahan pula terdiri daripada kelindan lori, mekanik, bekerja sendiri, operator kilang, berniaga dan penganggur.

"Kita turut merampas tiga pil erimin 5, dua paket plastik lutsinar berisi ketamin serta pelbagai peralatan menghisap dadah.

"Hasil siasatan lanjut mereka mendakwa menyewa pangsapuri terbabit yang dijadikan sebagai inap desa dengan dengan harga RM300 untuk sehari," katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit juga menggelarkan diri mereka sebagai 'Group Goyang Yuk'.

"Mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati semua mereka positif dadah," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 12:06am
d