mutakhir

Tidur depan keranda

Oleh Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Kuala Lumpur: Pertama kali tidur di hadapan keranda dan artifak lama di Muzium Negara menjadi antara pengalaman yang sukar dilupakan kerana berhadapan perasaan bercampur baur antara takut dan teruja.

Rasa seram mula muncul apabila terlihat tengkorak dan tulang belulang masyarakat terdahulu yang dipamerkan di situ.

Namun kami semua bersyukur kerana tiada apa yang berlaku dan lama kelamaan perasaan itu mula hilang, sekali gus memadam persepsi mengenai mungkin ada ‘hantu’ di muzium.

Semua pengalaman itu dialami menerusi Program Bermalam di Muzium 2017 di Muzium Negara pada 15 sehingga 16 September lalu sempena Hari Malaysia.

Seramai 1,959 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah menyertai program itu yang berlangsung serentak di 32 muzium di seluruh negara.

Peserta lelaki tidur di Galeri A, iaitu galeri prasejarah, manakala peserta perempuan di tempatkan di Galeri B iaitu galeri pameran sejarah Kerajaan Melayu.

Program itu diisi dengan beberapa slot menarik antaranya Bersama Ikon Remaja yang menjemput atlet penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dan atlet bola jaring An Najwa Azizan.

Kedua-duanya menceritakan mengenai pengalaman, kejayaan dan cara latihan yang memberi motivasi kepada peserta untuk maju dalam apa juga bidang yang diceburi.

Hari kedua pula dimulakan dengan senamrobik, Eksplorasi@Muzium.

Peserta, Syed Abdul Rahim Syed Fadillah, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak berkata, aktiviti ini dapat memupuk toleransi antara mereka selain mendapat kawan baru.

“Saya sangat gembira dengan program ini kerana dapat memupuk sikap toleransi antara kawan dan dapat mengenali dengan rakan baru berlainan sekolah,” katanya.

Peserta dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Muhammad Fitri Naim Roslan, 16, berkata, aktiviti ini sememangnya sangat bermanfaat bagi remaja.

“Saya rasa gembira dapat menyertai program ini kerana memperoleh ilmu mengenai kaedah menjaga diri sebagai remaja dan mendapat kenalan baru dari pelbagai bangsa,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 11:12am
d