mutakhir

Anggota polis parah

Oleh Essa Abu Yamin

ANGGOTA polis parah apabila motosikal ditunggangnya bertembung Proton Wira ketika dalam perjalanan menyertai Ops Bersepadu dalam kejadian di Jalan Parit Jalil-Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor, 11.38 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa, Konstable Mohamad Sahaddam Roslan, 21, yang bertugas di Balai Polis Batu Pahat dalam perjalanan ke tempat kerja bagi menyertai operasi bersepadu dijadualkan bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi ini.

"Malangnya, ketika tiba di tempat kejadian sebuah Proton Wira dikatakan memasuki laluannya kerana cuba memotong kenderaa lain lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa.

"Akibat kejadian itu mangsa cedera parah di kepala dan badan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Mangsa yang baru enam bulan berkhidmat masih tidak sedarkan diri manakala pemandu kereta berusia 26 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketima dihubungi.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu keputusan ujian sampel darah dan air kencing pemandu berkenaan.

Abdul Wahib berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku atas kecuaian pemandu yang memotong kenderaan di hadapan sehingga melebihi garisan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 3:30pm
d