mutakhir

NIOSH bantu aspek keselamatan sekolah

Oleh Hayati Ibrahim

INSTITUT Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) akan diberi tanggungjawab untuk melihat aspek keselamatan di sekolah seluruh negara termasuk Maahad Tahfiz.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, NIOSH akan menganggotai satu pasukan petugas khas bagi tujuan itu.

Menurutnya, pembabitan NIOSH penting kerana kerajaan tidak akan membiarkan Kementerian Pendidikan (KPM) melihat soal keselamatan mengikut sudut pendidikan sahaja tanpa dibantu.

"Kita mahu anak-anak kita di sekolah termasuk guru dan tenaga kerja berada dalam tahap kesihatan dan keselamatan yang tinggi, jadi kita (kerajaan) akan beri tanggungjawab ini kepada NIOSH.

"Jadi, secara rasmi kita wujudkan pasukan petugas khas ini atas keprihatinan kerajaan untuk mengelakkan kejadian ini berulang," katanya ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2017) di Pusat KonvensyenPutrajaya International (PICC), hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab Rahman dan Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye.

Kira-kira 1,300 peserta menghadiri persidangan dua hari berakhir esok.

Ahmad Zahid berkata, NIOSH akan membantu sekolah termasuk Maahad Tahfiz yang di luar bidang kuasa KPM dari segi keselamatan.

"Kita tidak berhasrat untuk campur tangan, tetapi demi keselamatan semua anak-anak. Ini tugas baharu NIOSH,"katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 5:02pm
d