mutakhir

2 geng Nuar ayam dijel, sebat

Oleh Muhamaad Razis Ismail

DUA ahli geng Nuar Ayam dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan parang di sebuah kedai peralatan binaan, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Wan Alif Wan Mohamad, 28 dan Wan Amri Firdaus Wan Ghazali, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang yang sudah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah kedai peralatan binaan di Jalan Beris Lalang, Bachok , pada jam 5.50 petang, 5 Februari 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardan Shahidan manakalan tertuduh diwakili peguam Cheah Poh Loon danAhmad Nizam Mohamed.

Harian Metro pada 6 Februari 2015 melaporkan, pemilik kedai peralatan maut ditembak tiga lelaki yang menyamun kedainya.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Turut cedera anak perempuannya, Ainul Wahida, 18.

Ketua kumpulan itu Nuar Ayam atau nama penuhnya Anuar Muhamad, 38, yang paling dikehendaki polis kerana pembabitan dalam 23 kesalahan jenayah samun, pemerasan dan rogol dihadapkan ke mahkamah pada Julai 2015 terhadap tuduhan membunuh mangsa dan senjata api.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 6:09pm
d