mutakhir

Panjat lagi

Oleh Farah Suhaidah Othman

TINDAKAN enam pemuda memanjat mercu tanda Ipoh berhampiran Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh sekali lagi menjadi tumpuan ramai selepas video mereka tular.

Video berdurasi 60 saat itu memaparkan sekumpulan anak muda yang diberi gelaran Super8 Ipoh memanjat mercu tanda berkenaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang gergasi.

Mereka kumpulan sama yang memanjat mercu tanda Ipoh, awal tahun ini.

Ketua kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz, 24, berkata, mereka tidak serik untuk mempamerkan aksi berbahaya berkenaan kerana niat mereka lebih bertumpu untuk melakukan sesuatu bagi menunjukkan semangat anak muda terhadap sambutan Hari Malaysia.

Katanya, mereka merancang untuk merakam video ketika menghasilkan Jalur Gemilang buatan sendiri pada mulanya namun belum memutuskan lokasi yang sesuai untuk dikibarkan.

“Niat kami memang untuk menjadikan video itu viral kerana mahu menunjukkan kepada orang ramai mengenai semangat serta keharmonian kami pelbagai bangsa menyambut Hari Malaysia,” katanya ketika dihubungi di Ipoh.

Ketika ditanya mengenai aspek keselamatan, dia berkata, setiap rakannya menaiki mercu tanda itu menggunakan tali yang mengikat pinggang tubuh masing-masing di palang besi mercu itu.

Katanya, dia mengakui tidak meminta sebarang kebenaran dari mana-mana pihak di lokasi berkenaan berikutan merasakan lokasi terbabit tidak berpagar dan tidak ada papan tanda larangan menceroboh.

“Tiada sebarang papan tanda mahupun pagar di kawasan berkenaan, jadi kami memberanikan diri memanjat mercu tanda terbabit sebelum mengibarkan Jalur Gemilang yang mengambil masa kurang daripada 10 minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 1:30am
d