mutakhir

Hujan lebat diramal lebih kerap

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Fenomena ribut petir dan hujan lebat diramal lebih kerap berlaku terutama waktu petang dan senja di pantai barat Semenanjung pada fasa peralihan monsun bermula hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Alui Bahari berkata, ribut petir dan hujan lebat boleh menyebabkan banjir kilat.

“Ketika ini, negara masih berada di penghujung Monsun Barat Daya (MBD). MBD dijangka berakhir minggu terakhir September.

“Pada masa ini juga, berlaku penumpuan angin di kawasan negara kita menyebabkan cuaca di seluruh negara agak lembap tetapi hanya untuk tempoh sementara,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, JMM yang beroperasi 24 jam sememangnya sentiasa melakukan pemantauan cuaca dan akan mengeluarkan amaran hujan lebat sekiranya keadaan memerlukan.

“Orang awam dinasihatkan sentiasa bersedia dari semasa ke semasa dan hendaklah mendapatkan maklumat sahih daripada laman sesawang JMM iaitu www.met.gov.my.

“Maklumat cuaca juga boleh didapati menerusi aplikasi mobil myCuaca, laman facebook: malaysiamet, twitter: @malaysianmet atau MetMalaysia Hotline di talian 1 300 22 1MET (1638),” katanya.

Menerusi laman sesawang JMM, ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang berlaku di Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Kedah, di Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Petaling, Klang dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Johor (Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian) dan Sabah (Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar, Sandakan dan Tawau).

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 3:33am
d