mutakhir

HRW desak beri lebih tekanan kepada Myanmar

Oleh AFP

Yangon: Kumpulan pemerhati hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) mendesak pemimpin dunia memberikan lebih tekanan kepada Myanmar dengan mengenakan pelbagai sekatan ke atas tenteranya yang mendalangi pengusiran lebih 400,000 etnik Islam Rohingya dalam kempen pembersihan etnik yang dirancang mereka.

Desakan itu dibuat HRW sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York yang menjadikan krisis di Myanmar itu sebagai satu topik penting.

Pengarah Advokasi HRW John Sifton berkata, pihaknya menggesa pemimpin seluruh dunia menghukum tentera Myanmar dengan sekatan itu bagi membayar semula kekejaman yang mereka lakukan kepada etnik Rohingya.

“Majlis Keselamatan PBB dan negara berkaitan perlu mengenakan sekatan dan gencatan senjata ke atas tentera Burma untuk menamatkan kempen pembersihan etnik terhadap Rohingya.

“Pada masa sama, sekatan perjalanan dan pembekuan aset perlu dikenakan kepada pegawai tentera Myanmar yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.

“Komander kanan tentera pasti tergugat dengan tekanan diberikan masyarakat dunia,” katanya.

Sementara itu bercakap kepada BBC pada Ahad lalu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memanggil pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi sebagai peluang terakhir bagi menghentikan krisis itu.

“Sehingga kini, kerajaannya mempertahankan kempen ketenteraan mereka sebagai tindakan balas sah terhadap siri serangan militan Rohingya.

“Mereka yang melarikan diri dari kampung itu pergi ke negara lain kerana takut ditahan dan dikaitkan dalam serangan ganas itu.

“Perlindungan undang-undang diberikan kepada kampung yang penduduknya tidak melarikan diri,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 4:04am
d