mutakhir

Strategi bina kerjaya cemerlang

Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Setiap graduan yang menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), bukan saja mendapat situasi sebenar alam pekerjaan, malah turut dilatih untuk menguasai kemahiran berkomunikasi, meningkatkan keyakinan diri dan mempersiapkan diri dengan pengalaman bekerja.

Berkongsi kelebihan SL1M itu, Ketua Pengambilan Bakat Kumpulan CIMB Soon Le Meng berkata, program berkenaan adalah perancangan amat sesuai untuk membentuk karier dan membuka peluang masa depan yang cerah kepada setiap graduan.

“Belum terlambat untuk seseorang graduan yang masih menganggur untuk mengubah nasib diri dan keluarga kerana SL1M menyediakan pakej lengkap untuk bergelar seorang pekerja yang baik setaraf profesional.

“Kami di Kumpulan CIMB sentiasa menyokong program (SL1M) ini kerana ia mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Sejak 2011 hingga kini, seramai 2,500 pelatih SL1M menyertai CIMB dan 30 peratus daripadanya berjaya diserap masuk atau diterima bekerja sama ada secara kontrak mahupun tetap,” katanya pada sidang akhbar sempena mengumumkan penganjuran terakhir program Temuduga Terbuka SL1M 2017 Zon Barat, di sini.

Hadir sama, Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail, Ketua Perancangan Tenaga Kerja & Pengambilan Bakat Kumpulan UEM Berhad Mona Abu Bakar, Naib Presiden Ketua Pusat Maklumat dan Modal Insan Kumpulan Maybank Marlin A Nordin serta Ketua Sumber Manusia dan Modal Insan Celcom Axiata Berhad S Kunaseelan.

Sementara itu, Mona berkata, pihaknya menyedari kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar menyebabkan kebanyakan graduan tidak mahu berhijrah dari kampung untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya cuba membantu menawarkan pekerjaan bersesuaian untuk graduan terbabit jika mereka perlu menjaga orang tua masing-masing di kampung.

“Saya mendapati ramai graduan masih tidak faham keperluan industri, dan mereka perlu berfikiran terbuka untuk belajar sesuatu yang baru.

“Justeru, mereka dinasihatkan supaya merebut peluang disediakan oleh industri dengan menunjukkan kesungguhan serta prestasi membanggakan sekali gus berpeluang mendapat pekerjaan tetap,” katanya.

Dalam pada itu, Kunaseelan berkata, Celcom menyokong penganjuran SL1M sejak 2014 sekali gus sudah melatih 1,700 pelatih menerusi program itu.

“Pelatih mendapat banyak manfaat daripada kursus ini termasuk kemahiran insaniah, penyampaian, penulisan perniagaan, komunikasi perniagaan, aplikasi Microsoft dan kursus keusahawanan,” katanya.

Marlin pula berkata, graduan perlu merebut peluang menjalani latihan SL1M dan menjadikannya sebagai langkah awal dalam laluan kerjaya mereka.

“Kira-kira 20 peratus daripada pelatih kami berjaya mendapatkan jawatan baik dan ada antara mendapat tempat di bahagian pengurusan,” katanya.

Sementara itu, Norashikin berkata, SL1M yang dilancarkan pada Jun 2011 antara program kebolehpasaran bagi membantu graduan menganggur untuk meningkatkan keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya membuka peluang mereka untuk mendapat pekerjaan di mana-mana sektor pekerjaan.

Menurutnya, peserta yang terpilih mengikuti SL1M akan ditawarkan tempat latihan maksimum sehingga setahun di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terpilih dan mereka juga akan ditawarkan kerja tetap jika menunjukkan prestasi yang baik sepanjang latihan.

Katanya, untuk program di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebanyak 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 60 syarikat kepada golongan pencari kerja mengikut tahap pendidikan mereka.

“Kami juga mendapati peserta yang tamat latihan SL1M berjaya melengkapkan diri masing-masing dengan kehendak diperlukan industri, malah mereka turut ditawarkan kerja tetap di GLC terkemuka negara.

“Apabila diberi bimbingan dan peluang, mereka sebenarnya boleh berubah asalkan berdisiplin, sekali gus memenuhi kriteria diperlukan syarikat,” katanya.

Mahu dikenali sebagai program amal, SL1M beroperasi tanpa dana tetap daripada kerajaan sebaliknya disokong dan ditaja sepenuhnya oleh GLC.

Syarikat-syarikat ini menawarkan skim latihan industri secara percuma kepada graduan, selain memberi elaun minimum bulanan RM1,000 sepanjang tempoh latihan berkenaan.

Norashikin berkata, pihaknya mengajak orang ramai ke penganjuran terakhir program temuduga terbuka SL1M 2017 Zon Barat yang bermula 23 hingga 24 September ini di UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Program keusahawanan dan pameran oleh Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) serta Industri Asas Tani turut diketengahkan di UPSI kelak.

Sertai selebriti terkenal seperti Faizal Tahir, kumpulan Zero, Hazama, Usop Mentor Milenia, Caliph Buskers, kumpulan Nastia dan pendakwah terkenal Datuk Ustaz Kazim Elias yang akan menghibur dan menyampaikan ceramah motivasi kepada pengunjung.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 5:18am
d