mutakhir

Percepat projek tebatan banjir [METROTV]

Oleh HM Digital

Georgetown: Kerajaan negeri memohon projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa Kedua Sungai Pinang dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan yang terjejas.

Pelaksanaan itu memberi manfaat kepada penduduk terutama yang tinggal berhampiran Sungai Pinang.

Pengerusi Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata, setiap kali hujan lebat, Sungai Pinang paling terjejas berikutan ia sungai terbesar di bahagian pulau.

Katanya, RTB Fasa Kedua dijalankan sejak 1999 belum disiapkan selepas kerja memperbesarkan dan mendalamkan sungai fasa pertama selesai.

“Sehingga kini, 12 projek mengurangkan kesan banjir dijalankan kerajaan negeri terhadap Sungai Pinang, Sungai Jelutong dan Sungai Air Itam dengan membabitkan kos RM1.1 juta, selain menempatkan semula 223 penduduk di kawasan terjejas dan mengeluarkan 120 struktur di dalam sungai.

“Semuanya membabitkan kos RM4 juta sejak 2008 hingga tahun lalu dan kini menunggu pelaksanaan RTB oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media, di Jalan Langkawi, semalam.

Jagdeep ditemui ketika mengadakan tinjauan di Sungai Pinang bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Dalam kejadian pada 15 September lalu, lebih 100 kawasan di sekitar Pulau Pinang terjejas berikutan hujan melebihi 100 milimeter (mm) bagi tempoh empat jam manakala kawasan Datuk Keramat yang paling terjejas sehingga membabitkan 1,518 kediaman.

Sementara itu, Maimunah berkata, 85 tan sampah di bahagian pulau dikumpul akibat banjir.

“Cuaca semakin baik, malah orang ramai sudah mula bersihkan kediaman dan premis masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 5:34am
d