mutakhir

Merapu bela rakan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki cuba membela rakannya yang diberkas polis kerana memandu dalam keadaan khayal akibat pengambilan dadah memakan diri apabila dia turut ditangkap kerana positif dadah.

Dalam kejadian jam 9.45 malam kelmarin, rakan suspek berusia 28 tahun ditahan ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di sekitar Stadium Merdeka, di sini, untuk menonton konsert artis Korea.

Timbalan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, sepasukan polis trafik yang membuat kawalan lalu lintas menahan rakan suspek untuk pemeriksaan selepas mendapati dia dalam keadaan mencurigakan.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu MPV itu mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine. Pemeriksaan lanjut menemui beberapa pil Eramin 5 di dalam poket seluar lelaki terbabit.

“Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar, di sini, untuk siasatan lanjut kerana kesalahan memandu dalam keadaan khayal,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek berusia 34 tahun yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis trafik yang menahan rakannya bertindak datang ke balai polis Trafik Jalan Bandar di sini, untuk membela lelaki berkenaan.

“Suspek yang datang bersendirian menyatakan perasaan tidak puas hatinya terhadap tindakan polis. Dia kelihatan merapu dan seperti khayal menyebabkan anggota polis menjalankan ujian saringan air kencing terhadapnya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu turut positif Amphetamine dan ditahan sebelum kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 5:38am
d