mutakhir

Skim pelaburan sasar IKS tumpas

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menahan lelaki bergelar Datuk Seri di Melaka sekaligus menumpaskan Skim Pelaburan Kongsi Makan Bhd membabitkan kerugian RM3.75 juta, hari ini.

Pengarahnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 113 laporan polis berkenaan skim itu.

Bertindak daripada maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota daripada JSJK Bukit Aman menyerbu rumah di Melaka bagi menahan lelaki bergelar Datuk Seri berusia 39 tahun yang disyaki dalang utama skim ini.

Katanya, syarikat itu didakwa menjalankan perniagaan dengan objektif utama untuk membantu peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menjual produk mereka melalui stokis milik syarikat.

"Untuk mendaftar, pelabur dikehendaki membayar keahlian sebanyak RM1,700 untuk satu set dan dijanjikan bonus antara RM800 hingga RM1,200 untuk setiap set selepas tiga bulan.

"Bagaimanapun, selepas bayaran diberikan, bonus yang dijanjikan tidak dibayar. Siasatan turut mendapati dianggarkan 70,000 ke 80,000 orang sudah menyertai skim pelaburan ini.

"Suspek ditahan reman tiga hari dan semua rampasan diserahkan kepada JSJK Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Turut dirampas kenderaan, dua telefon pintar dan pelbagai dokumen syarikat, " katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tindakan juga akan diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 4:42pm
d