mutakhir

Suhakam siasat hak asasi penternak ikan

Oleh Razif Rosli

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan siasatan terhadap hak asasi 39 penternak ikan koi di Kampung Bali, Tronoh dekat Batu Gajah yang mendakwa bakal hilang mata pencarian selepas pertikaian kawasan kolam.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, siasatan itu bagi menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak yang berkaitan.

"Pada 15 Ogos lalu, kami menerima memorandum daripada 39 penternak ikan koi, jadi hari ini kami turun ke kawasan menternak untuk lihat serta jalankan siasatan.

"Ini penting kerana ia membabitkan kepentingan awam kerana perusahaan mereka bukan sahaja memajukan ekonomi negara, malah diusahakan sejak 40 tahun lalu, namun kita akan siasat terlebih dahulu," katanya ketika sidang akhbar di Batu Gajah, hari ini.

Tambah Razali lagi, siasatan itu juga akan mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan hak penternak berkenaan diambil kira.

"Kita akan jumpa agensi kerajaan yang terbabit termasuk kerajaan negeri untuk dapatkan maklum balas dalam siasatan ini," katanya.

Sebelum ini, 39 penternak ikan hadir ke pejabat Suhakam bagi menyerahkan memorandum meminta suruhanjaya itu campur tangan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Ia membabitkan 65 hektar tanah di Kampung Bali, Tronoh, yang menempatkan kolam ikan mereka sejak 1980-an.

Walaupun tidak memiliki hakmilik atau pajakan ke atas tanah berkenaan, mereka mendakwa aktiviti penternakan mereka dilakukan dengan pengetahuan kerajaan negeri, yang juga memberi mereka semangat dan berjanji untuk menyelesaikan isu tanah berkenaan.

Bagaimanapun, bukan semua tanah itu di bawah kerajaan negeri, dengan 10 hektar dimiliki 15 pemilik persendirian di bawah Rancangan Tanah Berkelompok Bali (RTB).

Pertikaian itu timbul selepas tujuh pemilik persendirian itu menjual bahagian tanah mereka dan pemilik baru kini menuntut supaya penternak ikan di situ mengosongkan kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 6:10pm
d