mutakhir

Tuah hajah muda

Oleh BERNAMA

KAKITANGAN swasta, Nur Fadzleena Mohd Najib, 25, antara jemaah haji yang bertuah dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu pada usia muda.

Menurutnya, dia bersyukur dapat menunaikan haji dengan keluarganya.

“Kami pergi 10 orang termasuk tiga adik perempuan saya, ibu bapa dan dua bapa saudara serta isteri masing-masing. Saya bersyukur dapat pergi menunaikan haji sekeluarga,” katanya.

Nur Fadzleen berkata, dia dimaklumkan terpilih menunaikan haji sekitar Mei lalu.

"Apabila dimaklumkan terpilih untuk menunaikan haji sekitar Mei lalu, saya dan adik-beradik bersyukur dapat pergi pada usia agak muda," katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini.

Menurutnya, dia mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan untuk menguruskan proses serta menunaikan haji.

"Pengalaman menunaikan haji banyak memberi pengajaran untuk saya dan ahli keluarga bersabar. Di sana perlu banyak menunggu, beratur dan bertolak ansur," katanya.

Sementara itu, Pengarah Tabung Haji Sarawak Zaiton Mohd Yusoff berkata, 156 daripada 1,304 jemaah haji dari Sarawak tiba di KIA hari ini.

Menurutnya, penerbangan terakhir membawa jemaah Sarawak dijangka pada 25 September ini.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 6:25pm
d