mutakhir

2 suspek rotan lelaki direman

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

DUA lelaki direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes lelaki cedera dipukul 10 kali dengan rotan, 6 September lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, kedua-dua lelaki berusia 38 dan 39 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, semalam.

"Kedua-duanya dicari bagi membantu siasatan kes itu namun mereka tampil ke IPD Klang Utara semalam sebelum ditahan.

"Kami percaya dengan penahanan itu ia dapat melengkapkan siasatan kes berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, mangsa cedera dipukul dengan rotan oleh jirannya dalam insiden perselisihan faham di rumah mangsa di Jalan Jarak, Klang.

Mangsa yang berusia 52 tahun menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana cedera di bahu, paha, punggung dan betis selepas dipukul dengan rotan hampir satu meter.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi lebih seminit memaparkan mangsa dimaki dan dipukul lelaki sambil disaksikan kanak-kanak dan wanita yang menangis teresak-esak.

Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa memarahi lelaki berusia 60 tahun di hadapan rumah itu yang bertengkar dengan isterinya.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang tinggal berdekatan datang dan memukul mangsa dengan rotan berikutan mangsa memaki hamun lelaki yang juga rakan karib bapa lelaki terbabit.

Kejadian itu dirakam menggunakan telefon bimbit dipercayai oleh rakan lelaki yang memukul mangsa sebelum dimuat naik ke Facebook (FB).

Mangsa tampil membuat laporan polis pada 9 September lalu.

Berita berkaitan:

Tak patut...tak patut...[METROTV]

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 7:49pm
d