mutakhir

Terperangkap dalam kereta, bomba selamatkan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

TIGA wanita dan dua kanak-kanak diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap dalam kereta akibat Jalan Seremban-Port Dickson, dekat Mambau, dinaiki air, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian banjir kilat pada 5.57 petang.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota ke lokasi dan membantu mengeluarkan lima mangsa yang terperangkap dalam kereta Proton Wira.

"Anggota memberikan jaket keselamatan dan membawa mangsa keluar. Mereka dipercayai melalui jalan itu sebelum air naik secara mendadak menyebabkan kereta terperangkap.

"Hujan lebat berterusan menyebabkan jalan itu dinaiki air setinggi satu meter. Anggota turut menjalankan pemantauan lanjut di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati laluan di kedua-dua arah sesak teruk kerana tidak boleh dilalui kenderaan.

Penunggang motosikal, Daud Daie, 51, berkata dia bersama beberapa penunggang lain membantu mengawal lalu lintas bagi mengelak kenderaan terperangkap dalam air.

Menurutnya, kawasan itu sering dilanda banjir kilat jika hujan lebat berterusan lebih dua jam dipercayai kerana longkang tersumbat menyebabkan air bertakung.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 10:11pm
d