mutakhir

Jejak 10 saksi kes judi

Oleh Salman Hamat

Melaka: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti lokasi 10 individu yang juga saksi bagi kes berkaitan sindiket perjudian di negeri ini yang kini dipercayai berada di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, berikutan itu pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk membawa individu terbabit pulang ke Malaysia selepas lokasi mereka dikesan.

Katanya, semua individu terbabit dipercayai melarikan diri ke luar negara selepas pihaknya melakukan operasi besar-besaran membanteras sindiket perjudian dan rumah urut di Melaka pada Mei lalu.

“Semua 10 individu berkenaan penting buat SPRM untuk melengkapkan kertas siasatan. Jadi sekarang kami kenal pasti di mana mereka ini berada sebelum mendapatkan bantuan Interpol.

“Sebelum ini kami sudah buat siaran akhbar untuk panggil semua saksi berkenaan bagi membolehkan kertas siasatan dihantar ke pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas program Kembara Jelajah AntiRasuah 2017 (KEJAR 2017) di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengarah SPRM negeri, Abu Talib Othman.

Seramai 13 individu membabitkan empat orang awam dan lima pegawai serta anggota polis pelbagai pangkat ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, mengulas mengenai komen Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali masih belum menerima kertas siasatan berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC), Dzulkifli berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan.

“Sebenarnya kami hantar kertas siasatan, namun ia dipulangkan semula untuk dilengkapkan dan ambil tindakan susulan lain. Kertas siasatan disegerakan termasuk memanggil saksi dan semua sedia maklum kes itu membabitkan pelaburan di luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 3:03am
d