mutakhir

Medan jihad Rakhine

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Wujud cubaan rakyat Malaysia menjadikan krisis Rohingya di Myanmar sebagai ‘medan jihad’ mereka selepas kegagalan misi berkenaan di Asia Barat.

Polis mengesahkan memang wujud cubaan untuk anggota kumpulan Daish ini menjadikan ketegangan di Rakhine, Myanmar sebagai platform jihad mereka.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas (E8) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota Daish melihat ketegangan yang berlaku di Rakhine membabitkan etnik Rohingya Islam sebagai medan baru buat mereka.

“Polis ada maklumat risikan berhubung kemungkinan itu dan kami sentiasa memantau situasi ini termasuk rancangan mereka untuk ke Rakhine dan melaksanakan jihad.

“Apa yang terjadi di wilayah Rakhine ini masih baru dan polis berusaha mengumpul maklumat berhubung situasi itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ayob Khan berkata, anggota kumpulan Daish menggunakan isu berkenaan untuk merekrut anggota baru dan dijadikan senjata utama dalam meraih sokongan.

Beliau berkata, sebaran gambar berhubung nasib etnik Rohingya di negara itu mendapat perhatian umum dan Daish cuba memanipulasi simpati berkenaan.

“Perkara ini dipantau memandangkan Rakhine terletak dekat dengan Malaysia, tidak seperti beberapa negara di Timur Tengah.

“Melihat kepada kedudukan geografi, memang wujud kemungkinan untuk mereka cuba mencipta medan jihad yang baru selain daripada Selatan Filipina,” katanya.

Menurutnya, polis sentiasa memantau keadaan itu walaupun aktiviti merekrut pengganas untuk berjihad ke Rakhine dan situasi di wilayah itu masih baru.

Katanya, penahanan seorang lelaki berusia 38 dari Melaka awal bulan lalu memperlihatkan ancaman itu bersifat nyawa kerana individu itu memang berhasrat untuk berjuang di Rakhine.

“Berdasarkan maklumat risikan, individu itu ditahan kerana disyaki aktif mempromosikan perjuangan kumpulan militan Daish dan merancang menyertai Daesh di Filipina dan Rakhine,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 4:00am
d