mutakhir

'Gila' sawa warna-warni [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Kajang: Tidak hanya memelihara, Arawin Raj Pillai, 25, turut bereksperimen membiak ular Ball Python secara ‘trial and error’ sehingga mampu memiliki Ball Python pelbagai warna termasuk ungu dan merah jambu serta bermacam-macam corak yang cantik, unik dan lain daripada yang lain.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal yang menggemari ular sejak zaman kanak-kanak berkata, dia mula membela Ball Python sejak usianya 17 tahun.

Katanya, sehingga kini, dia memelihara 400 ekor ular jenis itu.

“Ketika mula membela Ball Python, saya membelinya melalui forum di Internet.

“Apa yang menarik mengenai reptilia dari Afrika itu, ia bersaiz kecil dan mempunyai lebih 5,000 corak,” katanya yang memelihara, membiak serta menjual Ball Python menerusi syarikatnya, ARP Constrictors di Taman Kajang Putra.

Menurutnya, ular mempunyai daya tahan yang sangat tinggi menyebabkan penjagaan Ball Python mudah, selain tidak memerlukan kos yang tinggi.

“Ular jarang mendapat penyakit, namun tahap kebersihan harus diutamakan bagi memastikan kulit ular tidak dijangkiti sebarang virus.

“Oleh itu, kami akan membersihkan habitatnya seminggu sekali,” kata anak jati Johor ini.

Menurut Arawin, dia hanya memberikan ular kesayangannya makan seminggu sekali.

“Saya hanya beri ular makan tikus putih kerana khasiat yang ada dalam tikus itu sudah cukup berbanding beri makanan lain seperti daging ayam.

“Bersihkan habitatnya dan beri makan seminggu sekali sudah memadai bagi memastikan reptilia ini sihat,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil lesen sejak dua tahun lalu untuk membiak ular berkenaan.

“Saya biakkan ular ini setahun sekali saja di mana pada musim hujan iaitu pada November dan Disember.

“Saya akan meletakkan ular jantan dan betina mengikut warna yang menarik supaya boleh menghasilkan empat hingga enam ekor ular Ball Python yang mempunyai warna dan corak unik, termasuklah merah jambu serta ungu, ” katanya.

Bagaimanapun, Arawin berkata, dia perlu menunggu selama 55 hari bagi telur ular menetas dan bukan perkara mudah untuk membiak ular bagi mendapatkan warna serta corak yang diingini.

“Saya hanya ‘trial and error’, jika menjadi ia umpama durian runtuh kepada saya kerana harga ular dijual bermula dari RM200 hingga mencapai ribuan ringgit bergantung kepada warna dan corak,” katanya.

Menurutnya, ular ini tidak berbisa selain mempunyai gigi yang kecil seperti ikan.

“Ia hanya akan menyerang jika berasa terancam, namun gigitan tidak menyakitkan dan tidak boleh membawa maut,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 4:59am
d