mutakhir

Lebih 13,000 cadangan #Bajet2018

Oleh Idris Musa

SEBANYAK 13,837 idea dan cadangan diterima sepanjang kempen #Bajet2018 yang berlangsung selama 15 hari, 4 hingga 18 September lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau gembira kerana ramai mengambil peluang itu untuk berkongsi cabaran dihadapi mereka, selain memberikan cadangan untuk dipertimbangkan dalam pembentukan #Bajet2018.

Menurutnya, berdasarkan penelitian awal, beliau mendapati pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pencukaian, perniagaan dan kewangan serta pengangkutan dan infrastruktur adalah topik hangat sekali gus menunjukkan keutamaan rakyat pada hari ini.

“Antara yang menarik perhatian saya adalah idea saudara Mohd Saiful Ridzuan yang mencadangkan agar Sungai Klang dibersihkan dan dibangunkan untuk menjadi sebuah pengangkutan jalan air utama yang menghubungkan bandar-bandar di sekitarnya.

“Ramai juga yang telah memuji pelaksanaan MRT dan meminta agar kerajaan membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisyen di negeri-negeri yang berpopulasi tinggi bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas.

“Bagi membantu penduduk kampung dalam meningkatkan pendapatan, saudara Freddie telah mencadangkan agar diwujudkan satu kerjasama antara pihak TNB dan penduduk kampung untuk memasang panel solar di rumah-rumah kampung,” katanya melalui catatan bi blog najibrazak.com bertajuk #BAJET2018, Bajet Untuk Anda, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau juga gembira membaca cadangan daripada penduduk desa yang mengutarakan hasrat untuk turut terbabit dalam ekonomi digital dan berharap agar peluang mengembangkan perniagaan melalui ekonomi digital tidak terhad kepada penduduk bandar saja.

“€œDalam memastikan peluang ini wujud untuk penduduk desa, saudara Mohamad Zulkhairin Raihan antaranya telah meminta agar kerajaan menaik taraf dan meningkatkan kelajuan capaian Internet di kawasan luarbandar,” katanya.

Katanya, beliau faham ramai juga yang meminta pelepasan cukai bagi membantu menangani kos sara hidup golongan berpendapatan tengah, daripada peningkatan pelepasan cukai untuk aktiviti sukan kepada pelepasan cukai untuk penyelenggaraan kenderaan persendirian.

“Untuk makluman semua, sejak GST diperkenalkan pada tahun 2015, kerajaan telah menurunkan kadar cukai pendapatan individu sebanyak satu hingga tiga mata peratusan yang memanfaatkan 300,000 orang apabila mereka tidak perlu lagi membayar cukai.

“Golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi mempunyai tanggungan cukai dan kadar cukai maksimum 26 peratus pula dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus,” katanya.

Katanya, beliau juga banyak mengumumkan pelepasan cukai dalam Bajet 2016, contohnya pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa bagi anak-anak yang menyara ibu bapa serta kenaikan had pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi setiap anak berumur 18 tahun yang sedang melanjutkan pelajaran.

“Selain itu, dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula, saya telah mengumumkan pelepasan cukai khas sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah,”€ katanya.

Beliau berkata, untuk Bajet 2017 pula, kerajaan mengumumkan pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM2,500 setiap tahun bagi pembelian antaranya, bahan bacaan, komputer, telefon pintar, peralatan sukan serta keahlian gimnasium.

“Ini hanyalah antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan tengah, bagi memastikan nasib mereka terus terbela.

“Oleh itu, saya yakin #Bajet2018 yang bakal dibentangkan akan terus membantu golongan yang memerlukan dan pada masa yang sama inklusif serta holistik terhadap keperluan semua.

“Insya-Allah, semua cadangan yang telah diterima akan diteliti dan dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan kerana ini adalah satu langkah yang tepat ke arah mendemokrasikan proses pembentukan bajet negara, satu dokumen yang bakal memberi impak yang besar kepada hala tuju negara,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 5:31pm
d