mutakhir

Jumpa pistol dalam hutan katanya [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

MELARIKAN diri kerana memiliki pistol, namun berjaya ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Brickfields dalam operasi khas AADK, di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam operasi 7.30 hingga 10 malam, lelaki berusia 26 tahun itu turut positif syabu.

Menurut pemuda yang mendakwa bekerja sebagai pekebun, dia mula menghisap syabu sejak dua tahun lalu.

"Saya kerja sebagai pekebun, bila saya 'kena' (syabu) jadi rajin untuk bekerja.

"Pertama kali saya hisap bersama rakan saya kerana ingin mencuba saja," katanya yang mengaku ada mengambil syabu empat hari lalu.

Ditanya mengenai pistol yang dirampas bersamanya, dia mendakwa senjata api itu bukan miliknya.

"Saya jumpa pistol dalam hutan ketika saya bekerja. Saya ambil dan simpan saja," katanya.

Sementara itu, wanita berusia 27 tahun yang juga ibu kepada dua anak ditahan ketika di dalam bilik utiliti bekalan elektrik di flat di Pantai Dalam.

Menurut wanita itu, dia ibu tunggal dan hamil tiga bulan, dipercayai hasil hubungan dengan teman lelaki.

Katanya, sudah tiga hari dia menghuni bilik itu bersama dua anaknya selepas dihalau oleh bapanya.

"Saya tidak hisap apa-apa, saya hanya duduk sini jaga dua anak saya yang berusia tiga dan empat tahun saja.

"Tidak pernah tahu mengenai syabu dan ganja," katanya yang cuba menipu pegawai AADK.

Bagaimanapun, selepas ujian saringan air kencing, ibu tunggal itu positif dadah jenis syabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Brickfields Mohd Zuwairy Rosdi berkata, pihaknya menahan enam individu di sekitar Pantai Dalam.

"Operasi ini tertumpu kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sering dilihat menagih dadah di tempat awam seperti taman permainan.

"Hasil operasi berjaya menahan seorang wanita dan lima lelaki yang berusia antara 21 hingga 40," katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Penagihan Dadah.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 11:09pm
d