mutakhir

Serbu 'port' dadah

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

REMAJA lelaki berusia 15 tahun antara 39 individu dipercayai penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) di dua lokasi di Sitiawan.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Mokhtarudin Mohamad berkata, operasi dijalankan di 'port' di Sungai Tiram di Lekir dan sekitar pekan Sitiawan bermula 9 malam semalam dan berakhir 10 pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya memeriksa 46 individu dan daripada itu 39 individu berusia antara 15 hingga 54 tahun ditahan selepas ujian saringan air kencing ke atas mereka didapati positif dadah.

"Semua yang ditahan membabitkan tiga wanita dan 36 termasuk ibu berusia 42 tahun bersama anak lelaki, 15, di rumah di pekan Sitiawan.

"Operasi ini dijalankan bagi menyelesaikan aduan daripada orang awam mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah selain usaha kita untuk membersihkan sarang kegiatan itu," katanya pada sidang media di Pejabat AADK Manjung, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas empat penyedut dipercayai dadah jenis morfin seberat 3.9 gram, 11 paket lutsinar dipercayai methaphatamine seberat 5.9 gram selain 12 biji pil Eramin 5 yang semuanya bernilai RM1,280 dan wang tunai RM41 serta telefon bimbit.

Menurutnya, semua ditahan akan direman 14 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penangih Dadah (APD) 1983.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 11:37pm
d