mutakhir

Bahan terbuang bawa tuah

Oleh Nor Farhani Che Ad

KREATIVITINYA menghias kawasan rumah menggunakan bahan terbuang menyaksikan lelaki warga emas muncul johan Pertandingan Keceriaan Negaraku 2017 peringkat Kedah, semalam.

Mastar Yob, 71, berkata, dia membelanjakan hampir RM3,000 untuk menghias persekitaran rumahnya, di Kampung Padang Cina, Kulim, dengan membina pelbagai replika menggunakan bahan terpakai hasil kreativiti anak-anaknya.

"Dalam usaha menghias kawasan rumah dengan lebih kreatif, replika seperti Menara Berkembar Petronas dibuat menggunakan botol dan diisi dengan cat mengikut warna Jalur Gemilang.

"Selain itu pintu gerbang dibuat dengan menggunakan besi dan buluh, replika meriam dibuat daripada botol dan besi buruk selain tempurung kelapa digunakan untuk menghasilkan Jalur Gemilang," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pertandingan Keceriaan Negaraku 2017 di Sungai Petani, semalam.

Katanya, dia tidak berasa perbuatan itu satu pembaziran kerana dirinya cukup menghayati erti kemerdekaan.

"Saya rasa tidak lengkap jika ulang tahun kemerdekaan negara disambut tanpa melakukan sesuatu yang bermakna. Ia satu pengorbanan untuk meraikan sambutan bulan kemerdekaan saban tahun," katanya.

Katanya, usaha menghias rumahnya itu dilakukan dengan bantuan ahli keluarga dan penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan berbilang bangsa.

Mastar menerima RM500, trofi dan sijil bagi kategori individu (kediaman) yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Kedah, Aziman Hasan.

Sementara itu, kategori bangunan kerajaan dimenangi Pejabat Daerah dan Tanah Yan, bangunan swasta (Kulim Inn) dan kategori Anjung Komuniti 1Malaysia (Anjung K1M Mukim Jeram, Kampung Chegar, Kubang Pasu).

Kategori sekolah dan pintu gerbang pula dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Bandar Baharu, Kulim.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 12:12am
d