mutakhir

Raikan bersama [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

LEBIH 15,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru tengah malam ini bagi meraikan kejayaan pasukan itu mempertahankan Piala Liga Super Malaysia empat kali berturut-turut.

Majlis sambutan yang diadakan secara besar-besaran itu berikutan kejayaan pasukan Harimau Selatan dalam melakar sejarah memenangi piala itu bagi kejuaraan Liga Super bermula tahun 2014.

Malah buat julung kalinya, JDT menerima piala Liga Super dengan bentuk baharu yang diperbuat daripada tembaga, perak dan emas tulen 24 karat bernilai RM150,000 seberat 20 kilogram.

Dengan ketinggian 63.3 sentimeter (sm) serta berdiameter 25.2 sm di bahagian tapak, piala berkenaan sudah pasti menjadi rebutan kerana keunikannya direka oleh tukang emas Diraja Johor.

Hadir sama meraikan Pemilik JDT yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Kelab Bola sepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Terdahulu sambutan diadakan selepas JDT menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Pemain berarak menaiki bas 'double-decker' tanpa bumbung yang diubahsuai menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Penyokong juga turut dapat menyaksikan layar gergasi di Dataran Bandaraya Johor Bahru yang turut menyiarkan secara terus suasana di atas bas 'double-decker' ketika pemain berarak dari stadium.

Pada masa kehadiran wira-wira JDT turut diserikan dengan pertunjukkan bunga api yang terbesar di Johor sekali gus meraikan kejayaan pasukan itu dalam meraih kemenangan di gelanggang sendiri.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 12:50am
d