mutakhir

Tinggal anak empat hari lepas lahir

Oleh HM Digital

Kluang: “Ketika saya mengambil dia sebagai anak angkat, umurnya baru empat hari manakala ibunya menghilangkan diri tanpa dapat dikesan hingga sekarang,” kata Seniah Emol, 60, yang menjejaki ibu kandung Adam Mukriz Azman Abdullah, 4, yang berada di bawah jagaannya.

Menurut Seniah, Adam yang dilahirkan pada 12 Januari 2013 di klinik swasta di Johor Bahru diserahkan wanita, Maznah Suleiman, 29, tanpa menyatakan sebab dia berbuat demikian.

Alamat terakhir wanita itu di No 4348, Jalan Jati 10, Bandar Putra, Kulaijaya, Johor, namun apabila dijejaki tidak lama selepas itu untuk mendapatkan surat pengakuan penyerahan anak, wanita itu dikatakan tidak lagi tinggal di situ.

“Kini anak yang ditinggalkannya kepada saya sudah berusia empat tahun dan dia dijaga dengan baik, malah dia diberikan kasih sayang seperti anak saya yang lain.

“Saya akan memastikan dia diberikan pendidikan sempurna sehingga menjadi insan berguna,” katanya ketika menemui wartawan Harian Metro, semalam.

Seniah berkata, bagi membolehkan semua itu dapat diberikan kepada Adam, dia mengharapkan ibunya berhubung atau menemuinya bagi menyelesaikan hal berkaitan penyerahan anaknya secara sah.

“Dengan adanya surat penyerahan secara sah itu nanti, ia juga membolehkan saya memenuhi syarat dokumentasi berkaitan anak angkat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Maznah atau sesiapa yang mengenalinya diharap dapat berhubung dengan saya di talian 012-7598697 bagi memudahkan hal ini diuruskan dengan segera,” katanya.

Menurut Seniah, kegagalan urusan berkenaan menyebabkan masa depan Adam tidak menentu kerana tiada dokumen untuk menguruskan hal pendidikan dan kesihatannya.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 3:24am
d