mutakhir

Ganjil rekod keterangan bos

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Penolong Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zailani Zainal Abidin memberitahu Mahkamah Majistret, di sini semalam, dia membuat syor tiada tindakan diambil terhadap kesalahan lalu lintas dilakukan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), JPJ, Datuk Yusoff Ayob, 58, kerana memandu di lorong kecemasan pada 7 Oktober 2016.

Dia memaklumkan tiada syor tindakan dikeluarkan terhadap Yusoff kerana beliau menggunakan laluan kecemasan pada ketika itu untuk melihat keadaan sebenar kesesakan lalu lintas di laluan itu.

Zailani yang kini bertugas di Pejabat JPJ Wangsa Maju diarahkan menyiasat kesalahan lalu lintas dilakukan Yusoff ketika bertugas sebagai penolong pegawai penguat kuasa di Unit Aduan dan Siasatan, Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ Putrajaya.

Menurutnya, syor tiada tindakan itu diserahkan kepada pegawai atasannya dan mereka bersetuju tiada tindakan diambil namun pegawai tertinggi jabatan tidak bersetuju sebaliknya mahu kes itu didakwa di mahkamah.

“Menurutnya, lokasi sekatan operasi di laluan itu tidak sesuai kerana ia kerap berlaku kesesakan berikutan waktu puncak. Saya bersetuju tindakan (memandu di lorong kecemasan) itu dibuat atas kuasa yang ada pada Yusoff selaku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ pada masa itu.

“Saya akui sedikit ganjil apabila diarah merekod kenyataan bos saya pada masa itu,” katanya.

Katanya, dia tidak tahu mengenai gambar kenderaan Yusoff yang ditularkan di laman sosial sebaliknya hanya mengetahui perkara itu menerusi media.

Zailani adalah saksi kelima yang dipanggil bagi kes perbicaraan berkenaan.

Selain Zailani, saksi lain dipanggil memberi keterangan adalah Pembantu Penguat Kuasa JPJ Ahmad Zaid Kamarul Awang, Pengurus Kanan Khidmat Pengurusan Spanco Sdn Bhd (Spanco) Zulkifli Abdul Aziz (Spanco), Penolong Pegawai Tadbir, Bahagian Khidmat Pengurusan JPJ Putrajaya Syaiful Sazeri Salleh dan Penolong Pegawai Penguat Kuasa JPJ Selangor yang juga bekas pegawai khas Yusoff, Tengku Dahari Tengku Mansor.

Perbicaraan didengar di hadapan Majistret Muhammad Zaki Abdul Kudos manakala, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

Yusoff diwakili peguam Datuk Baljit Singh Sidhu.

Perbicaraan bersambung semula hari ini.

Sebelum ini, Yusoff didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada 18 Julai lalu selepas mengaku salah kerana memandu di lorong kecemasan sebelum menukar kembali pengakuan kepada tidak bersalah pada 25 Julai lalu apabila didakwa semula.

Mengikut kertas pertuduhan, Yusoff selaku orang kena saman (OKS) didakwa memandu di lorong kecemasan menggunakan kenderaan bernombor BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya, pada jam 6.27 malam, 7 Oktober 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 119 (1) (c) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan menimbulkan kontroversi apabila Yusoff tidak hadir ketika didakwa sebelum ini dan diwakili pegawai khasnya mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Bagaimanapun, pada 21 Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ab Karim Ab Rahman, mengarahkan Yusoff didakwa semula, dalam satu permohonan semakan semula kes berkenaan.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 3:28am
d