mutakhir

Pak Arab bawa prebet sapu dicekup SPAD

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kegiatan teksi haram atau prebet sapu di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan hanya dilakukan warga tempatan, malah kini turut didalangi warga asing.

Aktiviti itu dibuktikan susulan penahanan lelaki warga Iraq berusia 53 tahun yang disyaki memujuk pelancong asing yang baru tiba di balai ketibaan KLIA, petang kelmarin.

Malah, lelaki terbabit didapati menggunakan kenderaan sewa pandu pelancongan milik syarikat yang didapati permitnya tamat tempoh sejak Jun lalu.

Jurucakap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, pihaknya membuat penyamaran di lokasi dan memantau aktiviti memujuk penumpang di kalangan prebet sapu.

“Kami mengesan seorang lelaki dipercayai dari Asia Barat memujuk satu keluarga pelancong yang baru tiba di KLIA.

“Kami mendapati mereka bergerak ke sebuah van milik lelaki itu dan memasukkan bagasi pelancong terbabit. Individu itu ditahan serta-merta oleh anggota SPAD,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki itu berasal dari Iraq dan tiada lesen pengendali perkhidmatan awam.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 4:47am
d