mutakhir

Air naik 0.5 meter

Oleh Zuliaty Zulkiffli

HUJAN lebat sejak malam tadi menyebabkan kawasan pesisiran Sungai Kedah, di Tanjung Chali ,Alor Setar dilimpahi air.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kawasan bangku rehat di tepi pesisiran sungai itu ditenggelami air 0.5 meter dan dijangka paras air akan naik sekiranya hujan berterusan, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Mohd Firdaus Isa berkata, anggotanya membuat pemantauan di kawasan itu untuk memastikan ia selamat berikutan terdapat kira-kira tujuh rumah penduduk di sekitar kawasan itu.

Beliau berkata, polis turut memasang sawa-sawa kira-kira 10 meter dari jalan raya ke laluan masuk kawasan riadah itu untuk mengelakkan orang ramai masuk kerana bimbang sekiranya ada lubang yang ditenggelami air akan mengancam keselamatan mereka.

"Selain itu kita turut memindahkan wanita warga emas berusia 90 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya di persisir sungai di Tanjung Chali atas permintaan keluarganya pada 1.41 petang.

"Anggota kami mendukung warga emas terbabit untuk dipindahkan ke tempat selamat disebabkan keadaannya yang uzur dan operasi mengambil masa kira-kira 15 minit," katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

Tinjauan juga mendapati beberapa jalan utama dinaiki air sedalam 0.5 meter termasuk Jalan Kuala Kedah, Jalan Yan Ruat, Jalan Singkir Darat dan Singkir Laut.

Namun setakat 2 petang, hari ini belum ada pusat pemindahan dibuka.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 3:52pm
d