mutakhir

Lelaki murung ditemui lemas

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

DUA hari hilang selepas melarikan diri ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan Islam, seorang pemuda akhirnya ditemui lemas di tali air dekat Kampung Padang Jelapang, Pasir Mas, 8.05 pagi tadi.

Mayat Saufi Ismail, 27, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di dalam tali air itu sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Bapanya, Ismail Hassan, 63, berkata, anaknya sebelum itu melarikan diri ketika dirawat di pusat perubatan Islam di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas pada Selasa lalu.

"Kami membawanya mendapatkan rawatan selepas dia berubah sikap dan menjadi murung sejak pulang bercuti pada Aidilfitri yang lalu.

"Dia sebelum ini bekerja di Lembah Klang dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjaga lembu.

"Malangnya, ketika dirawat, arwah tiba-tiba melarikan diri dan tidak berjaya dikejar anak saya yang lain. Laporan kehilangannya dibuat semalam dan gerakan mencari dilakukan, tetapi tidak menemuinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, dia terkejut apabila dihubungi polis pagi tadi memaklumkan menemui mayat Saufi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad mengesahkan penemuan mayat mangsa.

"Bedah siasat dilakukan di Hospital Pasir Mas dan mendapati mangsa mati akibat lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati lemas dan tiada unsur jenayah," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 4:42pm
d