mutakhir

Rempuh dinding kaca tingkat 15

Oleh Harun Yahya

PENERJUN BASE dari Australia nyaris maut apabila merempuh dinding kaca di tingkat 15 Wisma Sanyan, Sibu ketika melakukan terjunan percubaan sempena Sibu International BASE Jump, kira-kira 9 pagi, hari ini.

Penerjun yang dikenali sebagai Gary Favre itu bernasib baik terselamat daripada terjatuh dari bangunan itu selepas tali payung terjunnya tersangkut pada bangunan berkenaan.

Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee berkata, mangsa diselamatkan sebelum diberikan rawatan kecemasan di bilik perubatan yang disediakan di tapak terjunan BASE itu dijalankan.

“Gary kemudian menerima rawatan susulan di sebuah hospital swasta di bandar ini kerana luka di kaki dan pahanya memerlukan jahitan.

“Kami sudah mengingatkan penganjur supaya menasihatkan penerjun BASE lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui.

Acara Sibu International BASE Jump bermula secara rasmi esok sehingga Ahad ini.

Seramai 84 penerjun dari lebih 10 negara bakal menyertai acara yang sudah memasuki edisi kesembilan itu.

BASE Jump ialah terjunan udara yang dilakukan dari tempat statik seperti bangunan tinggi. BASE ialah singkatan perkataan `Building', `Antenna', `Span' dan `Earth'.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 4:48pm
d