mutakhir

Hebat kau dik! Samun guna penyapu

Oleh Fardy Bungga

DUA remaja berusia 13 dan 16 tahun ditahan selepas menyamun seorang lelaki dalam kejadian Pekan Donggongon, Penampang kira-kira jam 1 pagi, hari ini.

Kedua-dua suspek dipercayai bersama dua lagi rakan mereka yang bebas dikatakan menggunakan kayu penyapu untuk menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, selepas menyamun mangsa, semua suspek kemudiannya melarikan diri ke kawasan rumah kedai berhampiran.

Katanya, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis peronda yang dikerah ke lokasi bertindak mengepung kawasan kumpulan itu dilihat melarikan diri.

"Polis kemudiannya berjaya menahan dua suspek dan hasil pemeriksaan menemui kayu penyapu, buku 555 serta wang tunai RM100.

"Manakala pemeriksaan dalam beg sandang suspek menemui beberapa barangan dipercayai milik mangsa. Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Kelisa dipercayai milik salah seorang suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana Samun Berkumpulan.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 6:42pm
d