mutakhir

Berbekal semangat dan doa

Oleh Nursyahirah Marzuki

LAPAN peserta Kembara Inspirasi Haji 2017 (KIH 2017) yang menaiki kenderaan pacuan empat roda bagi menunaikan ibadat haji selamat tiba di tanah air kira-kira 1.50 petang hari ini.

Kembara yang merentasi 10 negara itu bermula dari Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu ke Arab Saudi melalui Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengarah KIH Khir Ariffin berkata, perjalanan darat sejauh 16,000 kilometer (km) itu berdepan pelbagai cabaran dan rintangan kepada peserta kembara sebelum berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada 28 Ogos lalu.

Katanya, dihalau dan ditahan pihak berkuasa antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peserta.

"Semangat kami semua masih kuat walaupun pada saat akhir ada timbul perasaan putus asa kerana kegagalan mendapatkan visa haji.

"Alhamdulillah, berkat doa dan bantuan daripada pelbagai pihak kami berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam kelima," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Katanya, ujian mereka tidak berhenti setakat itu apabila salah seorang daripada peserta demam sehingga tidak boleh bangun ketika berada di Mina.

Namun, katanya, berbekalkan kekuatan serta semangat tinggi mereka berjaya menunaikan ibadat suci berkenaan.

Khir yang juga Pengerusi Pertubuhan Kembara Amal (#PeKA) itu turut menyampaikan sumbangan kepada pihak yang dikenal pasti di beberapa negara yang dilalui mereka.

"Sepanjang perjalanan kami dapat bertemu dengan masyarakat tempatan untuk menyantuni mereka dan kita juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu pelarian dari negara perang.

"Malah, masyarakat di sana sama ada beragama Islam atau belum kagum dengan usaha kami melalui jalan darat untuk ke Tanah Suci kerana ia memberi inspirasi kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 6:59pm
d