mutakhir

'Mereka diberi masa untuk bertenang'

Oleh Asrizal Aris

DUA pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang kritikal masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sementara seorang lagi berada di Zon Kuning (Wad Separa Kritikal) dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar daripada hospital dalam masa terdekat.

Dua pelajar kritikal berkenaan ialah Indrakurniawan Mohd Amirul, 11, dan Muhd Shahir Sharifuddin, 11, manakala pelajar separa kritikal, Zunnun Misri Nasrun, 15.

Pengetua pusat tahfiz itu, Mohd Zahid Mahmod berkata, sembilan lagi pelajar sudah mendapatkan rawatan di hospital selepas kejadian yang mengorbankan 23 nyawa itu, diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk berehat dan mengambil ketenangan.

Katanya, dua warden yang sudah dibenarkan keluar daripada hospital kini sedang berehat di rumah khas berdekatan bangunan pusat tahfiz yang sudah dibaik pulih namun tidak dibenarkan bertemu dengan sesiapa manakala seorang lagi warden diberi kebenaran untuk pulang ke kampung.

"Buat masa ini, tiada pelajar yang berada di bawah jagaan saya. Mereka diserahkan kepada keluarga mereka untuk diberi masa bertenang bagi melupakan kejadian yang tragis itu.

"Insya-Allah, apabila pihak bomba sudah meluluskan sijil layak menduduki bangunan pusat tahfiz yang siap dibaik pulih, kami akan mengadakan perjumpaan dengan keluarga pelajar bagi membincangkan tarikh untuk pelajar memulakan semula pembelajaran.

"Perjumpaan itu dijangka akan dibuat pada awal bulan depan," katanya ketika ditemui di bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang dibaik pulih di Jalan Keramat Hujung, hari ini.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 7:15pm
d