mutakhir

Lapan jam paut tong

Oleh Hamzah Osman

TIGA nelayan berpaut pada tong air selama lapan jam sebelum diselamatkan apabila bot mereka karam dipukul ombak kuat kira-kira 3.7 batu nautika Barat Daya Pulau Rebak Besar dekat Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi itu, mangsa Ai Swee Moi, 61, selaku tekong, bersama awak-awak, Mohd Najib Saad, 53, dan Ismail Ail, 40, dilaporkan berehat atas bot yang berlabuh sebelum tiba-tiba dipukul ombak kuat dalam cuaca buruk dan tenggelam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 1 Langkawi (DM1) Komander Maritm Nurulazme Zakariah berkata, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima laporan kejadian itu daripada wakil Persatuan Nelayan Kuala Kedah pada 10.40 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya diaktifkan pada 11 pagi dengan mengarahkan bot peronda Petir 81 ke lokasi kejadian disusuli kapal KM Sugut pada 3 petang.

"Tiga nelayan itu ditemui selamat tetapi dalam keadaan lemah dan tidak bermaya pada 3.20 petang selepas diselamatkan oleh bot nelayan tempatan lain," katanya dalam satu kenyataan.

Nurulazme berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa tinggal sehelai sepinggang dan terapung di tempat kejadian dengan berpaut pada tong air.

"Bot nelayan tempatan yang berada berhampiran turut menyedari kejadian yang menimpa mangsa, namun mereka tidak mampu menghulurkan bantuan kerana laut bergelora dan berbahaya.

"Semua mangsa kemudian dibawa ke jeti DM1 di Bukit Malut sebelum dihantar ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut. Operasi SAR kemudian ditamatkan pada 4 petang," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 8:46pm
d