mutakhir

Transformasi minda, budaya hidup

Oleh Idris Musa

TUNTUTAN hijrah pada hari ini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain tetapi ianya adalah suatu transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup berteraskan ajaran Islam yang sebenar-benarnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Jika dilihat dari sudut era globalisasi, hijrah itu merangkumi perubahan dan penghijrahan dari pelbagai aspek iaitu dari sudut fizikal, minda, sikap, hati, persekitaran dan sebagainya.

"Perubahan ini mampu mengubah keadaan hidup sama ada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan taraf hidup.

"Kini, negara kita telah mengalami banyak perubahan dan pencapaian dari satu peringkat kepada peringkat lain yang lebih baik dan cemerlang," katanya dalam Perutusan Maal Hijrah 1439H/2017M yang dimuat naik di blog najibrazak.com.

Perdana Menteri berkata, hijrah Rasulullah SAW menandakan titik transformasi dalam kemajuan umat Islam.

"Hijrah melahirkan satu sistem hidup bermasyarakat yang sempurna dan menyaksikan transformasi kekuatan umat Islam daripada satu umat yang lemah kepada satu umat yang mantap, bertenaga dan berkemampuan tinggi.

"Sesungguhnya, Islam telah berjaya membangunkan sebuah masyarakat dengan sistem pemerintahan tersendiri yang menjamin keselamatan umat Islam serta bukan Islam.

"Satu tamadun dan peradaban yang tinggi telah dapat dilahirkan dalam satu tempoh yang singkat," katanya.

Beliau berkata, pada hakikatnya, kekuatan utama hijrah ialah memulihkan dan mengekalkan perpaduan.

"Perpaduan umat Islam iaitu berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian," katanya.

Justeru, sempena dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara, beliau mengajak umat Islam bersyukur ke hadrat Ilahi atas nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat kita menyambut Tahun Baru Hijrah 1439.

"Semoga sambutan kita pada tahun ini lebih bermakna demi NEGARAKU yang tercinta," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 1:48am
d