mutakhir

Malaysia tandatangani pengharaman senjata nuklear

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Malaysia menandatangani Perjanjian Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, kelmarin.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, perjanjian itu ditandatangani Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, ketika menghadiri Sesi ke-72 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA ke-72).

Katanya, dengan menandatangani perjanjian itu, Malaysia berganding bahu dengan negara lain dalam mengusulkan satu mesej politik yang tegas bahawa senjata nuklear hendaklah ditolak, serta menggesa supaya ia dihapuskan sepenuhnya dan secara mutlak dengan secepat mungkin.

“Perjanjian Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear ini adalah satu surat cara undang-undang yang kukuh, boleh dilaksanakan dan memperkasakan norma sejagat mengenai anti senjata nuklear.

“Ia bersifat inklusif yang membolehkan mana-mana negara untuk meratifikasikannya pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 4:06am
d