mutakhir

Sistem parit lama dorong banjir

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Masalah banjir kilat di negara ini dikenalpasti berpunca daripada sistem perparitan lama yang tidak dinaiktaraf, tidak lengkap dan tidak cukup untuk menampung jumlah air yang berlebihan secara serentak.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, faktor jumlah hujan yang banyak sepanjang tahun malah adakalanya berlebihan juga diakui turut menjadi penyumbang kepada masalah itu.

“Jumlah hujan berlebihan ini diakui kesan fenomena cuaca dunia yang tidak stabil, sering berubah dan kadang kala sukar diramal.

“Atas faktor itu, ada kawasan menerima jumlah hujan luar biasa sehingga kawasan tadahan melimpah dan seterusnya menyebabkan banjir kilat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Galeri Interaktif Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di Taman Eko-Rimba, Bukit Nanas, semalam.

Menurut Wan Junaidi, fenomena alam tidak boleh diubah namun pihaknya menyedari faktor sistem pengairan air sedia ada perlu dinaik taraf supaya bersesuaian dengan penerimaan jumlah hujan di kawasan itu.

“Kami menjalankan kajian menyeluruh mengenai masalah ini dengan mengambil kira kedua-dua faktor berkenaan.

“Ada kemungkinan sistem perparitan dan pengairan air perlu dibangunkan semula seperti menambah kedalaman dan keluasan longkang atau parit supaya mampu menampung air hujan,” katanya.

Katanya, penyelesaian itu bukan sahaja memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan malah orang ramai diingatkan agar tidak membuang sampah ke dalam longkang yang boleh menghalang aliran air.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Wan Junaidi berkata, Galeri Interaktif NRE adalah langkah permulaan bagi mengorak langkah ke arah merealisasikan pembangunan fizikal pusat sejarah alam semula jadi (NHC).

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 4:10am
d