mutakhir

KR1M 'rehat' baiki kelemahan

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Penutupan sementara Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sejak minggu lalu adalah sebahagian daripada penambahbaikan kelemahan KR1M yang diilhamkan sejak 2011 yang akan digantikan dengan KR1M 2.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata inisiatif KR1M 2.0 adalah sebahagian daripada rancangan kementerian untuk menambahbaik kelemahan sebelum ini.

“Ia bukan saja akan menawarkan harga barangan keperluan harian yang lebih murah, malahan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan barangan serta menawarkan peluang keusahawanan dan peluang perniagaan kepada orang ramai.

“Penambahbaikan ini juga membabitkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain serta membuka peluang perniagaan kepada pengeluar dan pengilang tempatan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai notis pemberitahuan penutupan sementara KR1M yang dipamerkan di semua premis perniagaan berkenaan di seluruh negara.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, butiran terperinci mengenai penambahbaikan KR1M akan diumumkan dalam masa terdekat iaitu pada hari pelancaran KR1M 2.0.

“Ia sebahagian daripada komitmen kami untuk menambah baik dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam.

“Ini juga sejajar dengan matlamat kementerian untuk menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya mampan, khususnya di dalam sektor perdagangan pengedaran,” katanya.

KR1M yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Ia bertujuan menjual pelbagai barangan harian pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 4:56am
d