mutakhir

Penganjur pesta gay dilarang masuk Malaysia

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

JABATAN Imigresen dengan tegas menolak kemasukan individu atau penganjur yang cuba memasuki negara ini untuk menyertai pesta gay dirancang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tindakan tegas itu diambil selaras dengan arahan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Sekiranya dikesan individu ini cuba memasuki negara, mereka akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) mengikut Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63.

"Jabatan Imigresen tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa gejala tidak sihat, tidak bermoral dan boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara ini," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, bermula 1 Januari hingga 30 Jun lalu, seramai 46,551 individu ditolak kemasukan ke negara ini di atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang pesta gay yang dilaporkan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Beliau dipetik berkata, penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan ia berlangsung, namun beliau sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak meluluskannya.

Katanya, sekiranya ia diteruskan, acara itu dianggap sebagai perhimpunan haram.

Sebuah portal melaporkan, acara gay berkenaan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September sebagai promosi perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu 'White Party Bangkok' dijadualkan berlangsung pada 28 Disember ini di Thailand.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 7:25pm
d