mutakhir

Bekas banduan bakal jadi banduan lagi

Oleh Nazdy Harun

BEKAS banduan yang dipercayai terbabit dalam dua kes pecah rumah di Taman Kirana, Kuala Berang, pada Ahad lalu ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas melakukan jenayah berkenaan.

Suspek berusia 41 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Bukit Apit, Ajil kira-kira jam 2 pagi Isnin selepas dikesan melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) daripada telefon bimbit yang dicurinya sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai, sebuah komputer riba, lapan buah telefon bimbit dan dua utas jam tangan bernilai RM6,500 daripada suspek yang bekerja sebagai buruh.

"Kejadian pertama berlaku pada Ahad 17 September lalu membabitkan seorang guru yang mengalami kerugian hampir RM4,000 selepas rumahnya dipecah masuk.

"Mangsa menyedari kejadian itu kira-kira jam 6.15 pagi ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh sebelum pemeriksaan mendapati pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai RM670, dua buah telefon bimbit, sebuah komputer riba dan seutas jam tangan jenis buruj (kiblat) hilang," katanya pada sidang media di Majlis Pameran Muzium Polis Diraja Malaysia sempena Pekan Budaya Daerah Hulu Terengganu 2017, Kuala Berang hari ini.

Menurut Mohd Adli, kes kedua berlaku pada hari sama membabitkan seorang pekerja kilang dan kejadian disedari mangsa kira-kira jam 5.45 pagi selepas mendapati pintu belakang rumah tumpangan yang disewanya terbuka.

"Hasil pemeriksaan mendapati enam telefon bimbit serta seutas jam tangan miliknya hilang dipercayai dicuri

"Susulan laporan diterima daripada dua mangsa, gerakan mengesan suspek dijalankan sebelum kita berjaya mengesan suspek melalui peranti telefon dicurinya," katanya.

Beliau berkata, suspek yang positif dadah jenis Amphetamine turut mempunyai enam rekod lampau berhubung kes pecah rumah iaitu lima di Johor dan satu di Terengganu bermula 2000 dan baru sahaja dibebaskan pada Jun lalu selepas menjalani hukuman penjara selama empat bulan.

Katanya, suspek yang mempunyai seorang anak kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 8:16pm
d