mutakhir

Sumbangan diserah kepada keluarga mangsa

Oleh BERNAMA

PENGURUSAN pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, termasuk pengetuanya akan berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata, pihaknya akan bersemuka dengan mereka (ibu bapa) kerana tidak mahu ada pihak ketiga mengeruhkan keadaan.

“Sumbangan yang kami peroleh akan dipulangkan kepada keluarga mangsa dan hanya sejumlah kecil akan digunakan untuk membaiki kerosakan pusat tahfiz yang terbakar ini," katanya.

Mengenai bangunan baru pusat tahfiz itu yang sebelum ini dijadual beroperasi Oktober depan, beliau bekrata, ia hanya alan digunakan awal tahun depan.

Mohd Zahid berkata, penangguhan itu berikutan kerja penambahbaikan yang perlu mematuhi beberapa ciri keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Semalam, ketika bomba melakukan pemeriksaan, mereka menyuruh kami membuat beberapa ubah suai dan penambahbaikan, antaranya memasang penyedut asap dan loceng kecemasan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya proses berkenaan akan mengambil masa beberapa bulan, sebelum pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran di bangunan baru.

Beliau berkata, pihaknya akan mencari tempat di lokasi berhampiran pusat tahfiz yang terbakar sebagai pusat pengajian sementara supaya pelajar yang bercuti dapat meneruskan pembelajaran secepat mungkin.

Tinjauan mendapati orang ramai masih lagi mengunjungi lokasi kejadian untuk merakamkan gambar dan menghulurkan sumbangan.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama di tingkat tiga terbakar pada 5.15 pagi, Khamis lalu.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 9:27pm
d